Monday, 3 August 2015

Seloka Emak Si Randang

Baik budi Emak Si Randang,
Dagang lalu ditanakkan
Tiada kayu rumah diruntuhkan,
Anak pulang kelaparan,
Anak di pangku diletakkan,
Kera di hutan disusui,
Dagang pergi awak berhutang,
Beras habis padi tak jadi.

Md. Ali Bachik (Penyelenggara)
Khazanah Puisi Klasik Melayu, 2003
Dewan Bahasa dan Pustaka

MAKSUD

Seloka ini mengisahkan Emak Si Randang yang baik hati. Dia rela memasakkan makanan untuk membantu orang dagang yang tidak dikenalinya. Emak Si Randang sanggup berhabis-habisan bagi melayan tetamunya sehingga sanggup meruntuhkan rumah jika tidak berkayu. Namun demikian, Emak Si Randang mengabaikan anaknya sendiri. Setelah orang dagang itu pergi, Emak Si Randang terpaksa menanggung hutang kerana kehabisan beras sedangkan padi yang ditanamnya tidak menjadi.

Video Seloka Emak Si Randang

https://www.youtube.com/watch?v=uizA4iv3dwE

Thursday, 30 July 2015

Gurindam Dua Belas Fasal Ketiga

RANGKAP 1

Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita.  
MAKSUD RANGKAP 1

Mata haruslah diperlihara sebaik-baiknya supaya tidak melihat sesuatu perkara yang dilarang oleh tuhan.

RANGKAP 2

Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tiadalah damping.
MAKSUD RANGKAP 2
Telinga perlu dijauhkan dari mendengar segala hasutan dan kejian.

RANGKAP 3
Apabila terpelihara lidah,
Nescaya dapat daripadanya faedah.
MAKSUD RANGKAP 3
Seseorang yang menjaga tutur kata akan mendapat banyak manfaatnya.

RANGKAP 4
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
Daripada segala berat dan ringan.    
MAKSUD RANGKAP 4
Tangan perlu dipelihara daripada mengambil barang yang bukan hak kita.

RANGKAP 5
Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fiil yang tidak senonoh.
MAKSUD RANGKAP 5
Nafsu makan perlu dikawal supaya tidak melakukan perbuatan yang dilarang.

RANGKAP 6
Anggota tengah hendaklah ingat,
Di situlah banyak orang yang hilang semangat.
MAKSUD RANGKAP 6
Kehidupan seseorang perlulah dijalani dengan penuh semangat.

RANGKAP 7
Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjalan yang membawa rugi.
MAKSUD RANGKAP 7
Anggota kaki perlulah dipelihara dari melangkah ke tempat-tempat yang maksiat.

VIDEO GURINDAM DUA BELAS FASAL 3

Part 1

https://www.youtube.com/watch?v=A4FnCjP0aF4

Part 2

https://www.youtube.com/watch?v=8CThN-I7OsQ

Monday, 27 July 2015

Syair Makna Riak

Rangkap 1

Kemudian dinyatakan makna riak,
Amal ibadat kerana manusia
Inilah lkebencian Tuhan yang sedaya,
Sebab kerana syirikkan Dia.

Maksud rangka 1


Riak merupakan perbuatan menunjuk-nunjuk sifat baik kepada orang ramai. Perbuatan ini dibenci oleh tuhan kerana mendatangkan syirik. 

Rangkap 2


Terkadang riak pula dilakukan,
Mengiringkan beberapa puasa tak makan,
Bertutur itu suara diperlahankan,
Tubuh dan badan tidak dihiraukan.

Maksud rangkap 2


Kadang-kadang perbuatan riak ini ditunjukkan dengan cara berpuasa. Apabila bercakap, suara diperlahankan dan membiarkan fizikal diri tidak terurus. 

Rangkap 3


Supaya disangka ianya wali,
Akan dunia tidak dipeduli,
Hemahnya itu sangatlah ali,
Tetapi hatinya ke dunia bertali.

Maksud rangkap 3

Perkara sebegitu dilakukan agar orang menganggap dirinya wali yang tidak peduli akan hal-hal keduniaan. Hemah yang ditunjukkan sangat tinggi tetapi sebenarnya dia sekadar berpura-pura dan mengharapkan habuan keduniaan. 

Rangkap 4


Terkadang riakkan ia berilmu,
Bersurah ketika orang berjamu,
Berkata-kata tidaklah jemu,
Nahu dan sarap habis disapu.

Maksud rangkap 4

Kadang-kadang riak ditunjukkan dengan menonjolkan kelebihan ilmunya. Dia sentiasa membaca al-quran dan menunjuk-nunjukkan kepandaian ilmunya dalam majlis keraian yang dihadiri oleh ramai orang. Banyak perkara yang diperkatakannya tanpa mempedulikan sama ada perkara itu betul atau salah.

Rangkap 5

Terkadang bercakap ilmunya mantik,
Bicara alhayat konon diselidik,
Supaya disangka ianya cerdik,
Sukalah orang memberinya gundik.

Maksud rangkap 5

Kadang-kadang dia bercakap seolah-olah idea atau fikirannya logik. Dia berlagak seperti orang yang telah membuat penyelidikan supaya dia disangka cerdik. Oleh itu, banyak orang ingin menjadikannya sebagai menantu. 

Rangkap 6

Terkadang riak dengan pakaian,
Berserban lilit ekor berhambayan,
Sejadah di bahu bersampaian,
Tasbih di tangan beruitan.

Maksud rangkap 6


Kadang-kadang orang riak dengan cara berpakaian. Mereka berserban dan sejadah sentiasa terletak di bahunya serta tangannya membilang tasbih. 

Rangkap 7

Pejamkan mata duduk bersila,
Lidah berzikir Allah Taala,
Terkadang jazbah seperti gila,
Kasadnya hendak jadi kepala.

Maksud rangkap 7

Duduk bersila dan mata terpejam sambil berzikir menyebut nama Allah. Gayanya keterlaluan seolah-olah mahu diiktiraf sebagai ketua. 

Rangkap 8


Riak demikian menjadi balak,
Amal itu tentu ditolak,
Terkadang dilemparkan ke mukanya pulak,
Allah Taala sualak.

Maksud rangkap 8

Riak boleh mendatangkan bala dan kecelakaan. Amalan kita akan ditolak malah mendatangkan dosa. Allah tidak suka kepada orang yang bersifat riak. 

(Puisi Melayu Tradisi 1993)

Video syair makna riak 

https://www.youtube.com/watch?v=VHp0HgtpPqY