Monday, 27 July 2015

Syair Makna Riak

Rangkap 1

Kemudian dinyatakan makna riak,
Amal ibadat kerana manusia
Inilah lkebencian Tuhan yang sedaya,
Sebab kerana syirikkan Dia.

Maksud rangka 1


Riak merupakan perbuatan menunjuk-nunjuk sifat baik kepada orang ramai. Perbuatan ini dibenci oleh tuhan kerana mendatangkan syirik. 

Rangkap 2


Terkadang riak pula dilakukan,
Mengiringkan beberapa puasa tak makan,
Bertutur itu suara diperlahankan,
Tubuh dan badan tidak dihiraukan.

Maksud rangkap 2


Kadang-kadang perbuatan riak ini ditunjukkan dengan cara berpuasa. Apabila bercakap, suara diperlahankan dan membiarkan fizikal diri tidak terurus. 

Rangkap 3


Supaya disangka ianya wali,
Akan dunia tidak dipeduli,
Hemahnya itu sangatlah ali,
Tetapi hatinya ke dunia bertali.

Maksud rangkap 3

Perkara sebegitu dilakukan agar orang menganggap dirinya wali yang tidak peduli akan hal-hal keduniaan. Hemah yang ditunjukkan sangat tinggi tetapi sebenarnya dia sekadar berpura-pura dan mengharapkan habuan keduniaan. 

Rangkap 4


Terkadang riakkan ia berilmu,
Bersurah ketika orang berjamu,
Berkata-kata tidaklah jemu,
Nahu dan sarap habis disapu.

Maksud rangkap 4

Kadang-kadang riak ditunjukkan dengan menonjolkan kelebihan ilmunya. Dia sentiasa membaca al-quran dan menunjuk-nunjukkan kepandaian ilmunya dalam majlis keraian yang dihadiri oleh ramai orang. Banyak perkara yang diperkatakannya tanpa mempedulikan sama ada perkara itu betul atau salah.

Rangkap 5

Terkadang bercakap ilmunya mantik,
Bicara alhayat konon diselidik,
Supaya disangka ianya cerdik,
Sukalah orang memberinya gundik.

Maksud rangkap 5

Kadang-kadang dia bercakap seolah-olah idea atau fikirannya logik. Dia berlagak seperti orang yang telah membuat penyelidikan supaya dia disangka cerdik. Oleh itu, banyak orang ingin menjadikannya sebagai menantu. 

Rangkap 6

Terkadang riak dengan pakaian,
Berserban lilit ekor berhambayan,
Sejadah di bahu bersampaian,
Tasbih di tangan beruitan.

Maksud rangkap 6


Kadang-kadang orang riak dengan cara berpakaian. Mereka berserban dan sejadah sentiasa terletak di bahunya serta tangannya membilang tasbih. 

Rangkap 7

Pejamkan mata duduk bersila,
Lidah berzikir Allah Taala,
Terkadang jazbah seperti gila,
Kasadnya hendak jadi kepala.

Maksud rangkap 7

Duduk bersila dan mata terpejam sambil berzikir menyebut nama Allah. Gayanya keterlaluan seolah-olah mahu diiktiraf sebagai ketua. 

Rangkap 8


Riak demikian menjadi balak,
Amal itu tentu ditolak,
Terkadang dilemparkan ke mukanya pulak,
Allah Taala sualak.

Maksud rangkap 8

Riak boleh mendatangkan bala dan kecelakaan. Amalan kita akan ditolak malah mendatangkan dosa. Allah tidak suka kepada orang yang bersifat riak. 

(Puisi Melayu Tradisi 1993)

Video syair makna riak 

https://www.youtube.com/watch?v=VHp0HgtpPqY



No comments:

Post a Comment